Wednesday, July 01, 2009

2 TANDA MENCINTAI ALLAH

Saya ada membaca sebuah buku tulisan Pahrol Mohd Juoi. Buku yang bertajuk ‘Tentang Cinta’. Seronok membacanya. Sangat sesuai dibaca oleh golongan remaja. Isu remaja kontemporari. Dalam buku ini, saya tertarik apabila pengarang menekankan tanda-tanda cinta kita kepada Allah. Beliau menghuraikan dua tanda mencintai Allah.

Kalau Cinta, Rindu Untuk Bertemu.
Bagaimana sikap kita dengan janji temu (solat) dengan Allah? Apakah kita datang seawal waktu atau sering menunggu-nunggu masuknya waktu solat? Jika ya, itu petanda yang kita cintakan Allah. Sekiranya setiap kali menjelang waktu solat kita telah siap sedia berwuduk, menunggu di saf hadapan dengan pakaian yang paling bersih, ditambah pula dengan haruman minyak wangi…Alhamdulillah, itu petanda cinta. Jika kesempatan ‘dating’ dengan kekasih ditunggu-tunggu saat dan ketikanya, maka seharusnya lebih-lebih lagi dengan Allah yang kita cintai.


Jika solat lewat (apalagi langsung tidak solat), datang dengan enggan, muka masam, berat tulang dan pakaian berserabut, itu petanda tidak cinta. Tidak fokus. Sambil lewa pula. Solat mahu selesai cepat. Apakah seorang kekasih ingin segera berpisah dalam pertemuannya dengan kekasihnya? Adakah seorang kekasih sampai lewat untuk janji temunya? Atau berpakaian serabut, kusut masai dan berbau ketika menemui kekasihnya? Tidak mungkin. Tetapi jika itulah sikap kita, ertinya kita tidak cinta kepada kekasih itu. Maka begitulah juga ukuran cinta kita kepada Allah. Perlu ada rindu, bukan jeu untuk bertemu.

Kalau Cinta, Suka Apabila Disuruh.
Seorang kekasih sentiasa suka ‘disuruh’ oleh kekasihnya. Kesusahan walau sebesar mana tidak diperkirakan. Asal maksud kekasih dipenuh, tidak kira apa akan ditempuhi (katanya lautan api pun sanggup direnangi). Oleh kerana amat suka disuruh, hati sentiasa menunggu-nunggu bila hendak disuruh. Bila lagi? Apa lagi? Begitulah detik hati selalu. Pantang disuruh, macam lipas kudung, segera dilaksanakan.

Begitulah orang yang cintakan Allah, sentiasa suka apabila diperintah. Bila ada sesuatu disuruh buat, terus dibuat. Tanpa tanya-tanya lagi. Apabila sesuatu diuruh tinggal, terus ditinggalkan. Sami’na wa ato’na – kami dengar dan kami taat. Itulah bukti cinta. Sebarang suruhan daripada Tuhan akan segera dilaksanakan. Malas, letih, susah, sakit, miskin dan lain-lain tidak menjadi halangan. Bagaimana kita?

Mereka ini sentiasa proaktif dan mencari-cari apa lagi suruhan Tuhan yang hendak dilaksanakan. Bila dapat dilaksanakan, alangkah bahagianya dirasakan.

Sekarang, apa respon kita terhadap perintah Allah dan larangannya? Ya, mungkin kita melaksanakannya, namun apakah hati kita suka ketika melakukannya. Contohnya, solat Subuh. Ya, memang kita telah solat Subuh, tetapi apakah kita suka dan ceria ketika melaksanakannya. Cermin muka kita…apakah tersenyum ria setiap kali bagun Subuh? Atau masam mencuka, melangkah ke bilik air dengan langkah malas, lesu dan terpaksa?

Jika ada rasa terpaksa, untuk bangun solat, itu petanda belum cinta. Besar bezanya antara orang yang mengatakan ‘I have to pray (Saya kena solat)’ dengan orang yang berkata, ‘I need to pray (Saya perlu solat).’ Memang kedua-duanya sama-sama sembahyang. Tetapi seorang kerana suka, seorang lagi kerana terpaksa. Yang seorang sudah cinta, yang seorang lagi belum cinta.

* diambil dari buku ‘Tentang Cinta’ karya Pahrol Mohd Juoi